20 Januari 2025- Cawangan Pembangunan Insan, IKMAS telah menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah bertempat di Surau Darul Taqwa pada 18 hingga 19 Januari 2025. Seramai 50 orang peserta yang menghadiri kursus ini terdiri daripada komuniti Kampung Selang Laut dan Kampung Selang Ulu.
Ustaz Yussof bin Hazmi dari Jabatan Agama Islam Sarawak dan Ustazah Norizan binti Amin dari IKMAS merupakan Penceramah serta fasilitator bagi kursus ini. Turut hadir Ketua Cawangan Pembangunan Insan, Ustaz Abdul Jamel bin Jaafar serta urus setia dari IKMAS.
Objektif kursus ini ialah bagi memberi pengetahuan dan pendedahan kepada para peserta berkaitan tatacara menguruskan jenazah secara teori dan praktikal. Seterusnya melahirkan rasa tanggungjawab para peserta untuk memenuhi tuntutan fardu kifayah yang perlu difahami dan dikuasai sebaik mungkin oleh orang Islam serta hak yang perlu ditunaikan ke atas orang mati.
Kursus yang berlangsung dua hari ini merangkumi tanggungjawab dan prosedur dalam menghadapi kematian serta amali pengurusan jenazah termasuk memandikan, mengkafankan, solat jenazah seterusnya pengebumian.
Semoga para peserta yang hadir dapat mempraktikkan rukun fardu kifayah ini dengan adanya pengisian yang telah disampaikan sekaligus memberi pengalaman yang baharu kepada mereka.