PROGRAM IHYA’ RAMADAN DAN TAHLIL PERDANA KOMUNITI MADANI SERTA PROGRAM SAFARI RAMADAN
8 Mac 2025, Sabtu - IKMAS telah mengadakan program Ihya’ Ramadan dan Tahlil Perdana Komuniti MADANI serta program Safari Ramadan bersama Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak pada 7 Mac 2025 di Kampung Pedaun Bawah, Krokong Bau, Kuching.
Bulan Ramadan adalah anugerah agung dari Allah SWT untuk umat islam seluruhnya bagi menambah amalan demi meraih ganjaran dan ketaqwaan yang dijanjikan-Nya. Amalan sunat seperti solat tarawih/witir, Tadarus Al-Quran, Iftar Jamaie dan seumpamanya adalah amat digalakkan dilaksanakan khususnya di dalam bulan Ramadan al-mubarak.
Objektif program memberi pendedahan tentang kaedah dakwah kepada pelajar serta mengeratkan hubungan silaturahim bersama masyarakat setempat yang terdiri daripada enam buah kampung iaitu Kampung Pedaun, Kampung Kaman, Kampung Bijury/Mongang, Kampung Ledan /Gumbang, Kampung Pengkalan Tebang dan Kampung Tringgus. Selain itu, sebagai satu wadah untuk berkongsi ilmu serta pengalaman dalam menghayati keberkatan, kepentingan, tuntutan dan cabaran beramal sepanjang bulan ramadhan
Program diserikan lagi dengan kehadiran YBhg. Datuk Haji Misnu bin Haji Taha, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak serta isteri. Turut hadir Ustaz Abdul Jamel bin Jaafar, Ketua Seksyen Pengajian Sepanjang Hayat mewakili Pengarah IKMAS serta ketua-ketua jabatan.
Semoga program sepanjang bulan Ramadan ini dapat memantapkan lagi potensi pelajar dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Ianya adalah salah satu usaha untuk membentuk jati diri dalam mengembangkan dakwah dan usaha pengukuhan sahsiah pelajar IKMAS.