PROGRAM KHATAM AL-QURAN DAN IFTAR JAMAIE IKMAS TAHUN 2025/1446H
10 Mac 2025, Isnin – IKMAS telah mengadakan Program Khatam Al-Quran dan Iftar Jamaie IKMAS Tahun 2025/1446H bertempat di Masjid Darul Naim. Dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT, bulan Ramadan adalah kesempatan paling berharga untuk memperbanyakkan bacaan Al-Quran, sama ada secara bertadarus atau berseorangan.
Program dimulai dengan Majlis Khatam Al-Quran yang dipimpin oleh Ustaz Mohamad Rafiee bin Badurus, Penolong Pengarah dan diiringi pegawai-pegawai serta pelajar IKMAS. Seterusnya diteruskan dengan simbolik penyerahan sumbangan kepada pelajar IKMAS. Perkongsian Tazkirah Ramadan telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Azizon bin Noordin, Penolong Pengarah Kanan, IKMAS.
Program ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran YBhg. Datuk Haji Misnu bin Haji Taha, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak serta isteri. Turut hadir YBrs. Puan Zaizurina binti Mansor, Pengarah IKMAS, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai dan warga IKMAS.
Semoga dengan pelaksanaan program ini dapat menyemai rasa kecintaan terhadap Al-Quran dan menjadikan bacaan Al-Quran sebagai sebahagian daripada amalan harian serta memperkukuh ikatan silaturrahim.